Adab Seorang Pelajar dengan Ilmu

ADAB SEORANG PELAJAR DENGAN ILMU

Dewan Sri Rajang, 24 Mac 2010 (0730-0830)

Oleh : USTAZ ZAMRI BIN RAJAB

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral

IPG Kampus Rajang, 96509 Sarawak

PENGENALAN

Adab adalah satu istilah yang dipetik dari bahasa Arab. Daripada segi bahasa adab bererti seni. Seorang artis dalam bahasa Arab disebut “Adib”. Dalam masyarakat Arab, adab bermaksud sekumpulan tingkah laku yang baik, perlu ada pada seorang yang baik atau makanisma yang digunakan untuk menilai seseorang itu sebagai baik (Kamus al-Wasit, 1992).

Oleh itu, adab adalah seni tingkah laku yang baik kerana tiada adab yang buruk. Adab juga lebih khusus berbanding akhlak, kerana akhlak ada yang baik dan yang buruk. Kesimpulannya, adab seorang pelajar sebagaimana yang dikehendaki di sini adalah sekumpulan akhlak yang baik atau perlu ada pada diri seorang pelajar agar ia menjadi seorang pelajar yang baik.

ADAB-ADAB SEORANG PELAJAR DENGAN ILMU

1.         Perlu ikhlaskan niat dalam menuntut ilmu

Pelajar perlu maklum bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu kewajipan. Mengikut Nabi Muhammad SAW “Barangsiapa yang menginginkan dunia, maka dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan akhirat, maka dengan ilmu, dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, maka dengan ilmu”. Oleh kerana itu, para pelajar haruslah mengikhlaskan niat dalam menuntut ilmu yang telah menjadi kewajipan dan tuntutan kepada mereka. Ilmu yang dituntut dengan ikhlas sahaja dapat menyuluh pemiliknya ke jalan yang lebih bahagia.

2.         Perlu mengetahui dan membezakan mana ilmu fardu ain dan fardu kifayah

Ilmu fardu ain adalah wajib bagi setiap individu manakala ilmu fardu kifayah pula wajib dalam peringkat kumpulan atau masyarakat. Ilmu fardu ain perlu dikuasai oleh semua individu seperti ilmu pengurusan diri, pengurusan kewangan, pengurusan kesihatan dan sebagainya. Manakala ilmu fardu kifayah dipilih untuk didalami oleh individu berdasarkan kepada minat dan kecenderungannya sendiri.

Sekiranya seseorang pelajar itu tahu membezakan di antara kedua bentuk ilmu ini, nescaya mereka tidak akan tersasar mendalami salah satu daripadanya dan pada masa sama meninggalkan sebahagian yang lain. Contohnya para pelajar yang tidak peka dengan kedua-dua ilmu ini akan melupakan aspek pengurusan diri, pengurusan kewangan yang sepatutnya turut dititik beratkan. Ataupun, seseorang itu hanya sibuk menguruskan hal ehwal peribadinya tanpa memperuntukkan masa yang sesuai bagi mendalami sesuatu bidang pilihannya.

3.         Menghormati dan mencintai ilmu

Pelajar yang beradab akan berusaha menghormati dan mencintai ilmu. Menghormati ilmu seperti sentiasa mempastikan kebersihan diri dan persekitaran di mana tempat mereka menuntut ilmu. Sama di bilik kuliah, dewan makan dan tempat mereka tidur. Sebagai contoh, seorang pelajar muslim akan sentiasa mempastikan ia berada dalam keadaan berwuduk semasa menuntut ilmu. Manakala mencintai ilmu pula bermaksud, para pelajar sanggup berkorban apa sahaja demi ilmu termasuklah masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya.

4.         Mengembalikan ilmu kepada sumbernya

Seorang pelajar yang beradab akan berpegang kepada prinsip amanah ilmiyah. Iaitu sesuatu ilmu yang diperolehinya akan dinyatakan sumber atau dikembalikan kepada pemiliknya yang asal. Mereka sedar bahawa manusia lahir dalam keadaan serba jahil kemudian mereka memperolehi ilmu sama ada daripada sumber-sumber lain sama ada guru, buku, bahan bercetak dan tidak bercetak.

Menjaga amanah ilmu itu penting bagi mempastikan barakah ilmu yang diperolehi. Dengan ilmu yang barakah itu, mereka akan mendapat anugerah seterusnya mencari dan memperolehi rezeki berasaskan anugerah berkenaan. Ramai yang tidak menyangka bahawa perjalanan kehidupan mereka hari ini yang tidak senang dan tidak mencapai kebahagiaan kerana kehidupan mereka telah terbina di atas sumber yang tidak barakah.

5.         Faham konsep mendatangi ilmu

Ulama Islam turun temurun mewarisi pepatah “Ilmu didatangi bukannya mendatangi”. Ia bermaksud para pelajar perlu pergi mencari ilmu bukan sebaliknya menunggu ilmu untuk datang bertandang. Sarjana-sarjana Islam masa silam terbukti hebat dalam perjalanan mereka menuntut ilmu. Kerana itu mereka mampu melahirkan sarjana demi sarjana yang telah menerangi era kegemilangan tamadun manusia sehingga dapat bertahan lebih daripada 700 tahun.

Konsep mendatangi ilmu memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Sama ada mereka perlu meninggalkan segala kemewahan dunia untuk hidup bersama-sama dengan rakan-rakan penuntut ilmu yang lain dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi makanan, minuman, keselesaan tempat tidur dan sebagainya. Bukan sedikit juga masa diperuntukkan untuk ilmu begitu juga tenaga dan wang ringgit.

PENUTUP

Semoga perkongsian ini memberi sedikit sedar dan faham akan kepentingan adab yang perlu ada pada seorang pelajar dalam musafir mereka mencari permata yang sudah hampir hilang itu. Iaitu ilmu yang bukan sahaja membantu suluh hidup mereka di dunia, tetapi sehingga dapat menjamin kebahagiaan hingga ke akhirat yang lebih kekal abadi.

Selamat maju jaya. Wallahu aklam.

This entry was posted in Akademik. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s