SELAMAT HARI GURU 2010

[nukilan SITI FATIMAH BINTI AHMAD /JABATAN PENDIDIKAN ISLAM DAN MORAL/ IPG KAMPUS RAJANG]

16 MEI 2010 : SELAMAT HARI GURU “SURAT TERBUKA BUATMU GURU”

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Bismillahirahmaanirrahiim.

“SELAMAT HARI GURU”  BUAT SEMUA SAHABAT GURUKU WALAU DI MANA SAHAJA BERADA.

Surat terbuka ini, ku tujukan khas buat semua sahabat guruku sempena Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei 2010. Tema Guru Pembina Negara Bangsa, menjulang aspirasi tinggi tentang harapan yang disandang ke bahumu oleh warganya untuk meletakkan martabat keguruanmu di persada pentas dunia dalam membangunkan negara bangsa.

Sahabatku GURU yang dihormati,

Ketahuilah aku menulis ini bukan kerana nama. Aku juga menulis  bukan untuk mengguruimu. Aku tidak punya kehebatan yang jitu atau kekuatan yang ampuh untuk mengubah apa-apa yang ada pada dirimu yang sedia ada kini. Tapi atas cita-citaku untuk meraih diri sebagai Guru Sebenar Guru dan kepedulianku yang tinggi dalam bidang keguruan ini, membawa aku untuk meluahkan apa yang terbuku dihatiku dan mencurahkan segala kandungan hasrat tertinggiku padamu sekalian agar dunia keguruan kita dimuliakan oleh sesiapa sahaja. Walau di mana kita berada. Kita adalah sama dalam apa tujuan pun kerana kita adalah INSAN GURU.  Serata dan sejiwa.

Sahabatku GURU yang dimuliakan,

Berdirinya kita dalam taman lautan pendidikan ini, BUKAN kerana perancangan dan rencana kita semata-mata. Tetapi ia adalah satu suratan yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Mengapa aku berkata demikian ? Pernahkah kita mempedulikan antara ratusan ribu calon yang memohon untuk meletakkan cop keguruan di dahi mereka, yang terpilih adalah kita bagi memenuhi unjuran yang tidak sampai 2000 penempatan setiap tahun. Tidakkah kita ini termasuk dalam kalangan yang TERPILIH dan BERTUAH ? Bukankah ini satu keuntungan dan rezeki yang tidak terduga ? Marilah bersyukur atas kurnia dan anugerah kerjaya yang tidak memberi kekayaan buat kita tetapi meletakkan ketinggian mulianya kita di mata anak-anak didik kita sebagai INSAN YANG PUNYA JASA TIDAK TERHINGGA.

Cuba kita renungi dibenahan diri bagaimana laluan yang kita selusuri tika pertama kali menjejak kaki di bumi wadah keilmuan di merata-rata pelusuk di bumi pertiwi tercinta ini. KITA SANGGUP BERBAKTI DI MANA-MANA SAHAJA KITA DITEMPATKAN. ITU AKUAN KITA SENDIRI. DITANDA TANGANI DENGAN RELA HATI, TANPA PAKSAAN. Oleh itu, jangan ada dalam kalangan kita yang merungut, mendesah dan memungkiri janji serta ikrar tersebut. Lalu membuat onar dan olah yang membusuk dan mencemarkan sahabat guru yang meyakini diri dalam tugas yang mulia ini.

Sahabatku Guru yang berjasa,

Aku yakin, dengan kekuatan yang cuba direkuh, kau mengumpul kepercayaan dan keyakinan diri untuk ditebarkan di mana-mana wadah keilmuan bagi memencak segala ilmu keguruanmu sama ada di kawasan pedalaman yang masih dara hutannya, yang didiami oleh pelbagai penghuni rimba, sanggup diredah walaupun payah dan penuh renyah  oleh luluh air peluhmu. Tidak kurangnya renangan airmatamu di pipi lautan yang penuh dengan  rindu dendam yang dalam kepada keluarga yang ditinggalkan. Satu pengorbanan buat anak didik di desa pedalaman yang merindui keikhlasanmu.

Laluanmu ada yang lebih memeritkan. Tika kakimu letih untuk berdiri gagah membelah bukit, menurun curam, meranjau denai dan memeluk dingin air sungai yang menyelimutimu tika perahu tambang yang kau naiki terpaksa kau junjung di batu kepalamu. Cukup mengkagumkan bagi insan guru sepertiku yang tidak pernah punya pengalaman sehebat itu.  Teringat aku akan sebuah buku tulisan Dr. “Aidh Abdullah al-Qarni yang bertajuk PENGALAMAN ADALAH GURU TERBAIK.  Pengalamanmu di desa pedalaman menjadikan engkau manusia yang penuh pesona kehidupan. Kau mampu berhujah dengan seribu satu malam cerita suka dukamu untuk membidik jiwa kontang anak-anak yang jauh dari kemewahan dunia dan kecanggihan teknologinya.

Sahabatku Guru yang disanjung

Walau medanmu di tengah kecanggihan teknologi, gerudi nadi yang meriah di perut kota, bandar dan seumpamanya. Cabaranmu bagiku lebih menuntut kesabaran yang tinggi.  Kau diuji dengan sejuta ragam olah manusia pelajar yang tentunya menjerat  hati untuk lebih banyak mendidik diri.  Kau harus tabah menghadapi semua ini. Janjimu dulu penuh dengan sejuta harapan untuk membentuk anak didikmu menjadi insan berguna. Ingin kau sebar semerbak wangi kasih sayang dalam  menunjuk jalan kebenaran menuju sahsiah yang bermartabatkan manusia berguna.

Oleh itu, jangan putus asa. Jangan berpaling duka. Dirimu adalah insan berilmu yang telah diserap segala kemahiran untuk merancang dan merencana mengikut kreativiti juga inovasimu. Kau telah ditancap kukuh dengan anjakan paradigma yang berasaskan ilmu psikologi untuk menangani segala rencah rempah kemelut tingkah dari pelajarmu yang mindanya mudah diserah kepada apa jua corak pembangunan dunia globalisasi semasa.

Sahabatku GURU yang berhemah tinggi,

Kita disanjung kerana jasa yang menggunung. Oleskan dunia keguruan dengan harmoni sikap, limpahkan kasih yang berpadan dengan belas ihsan. Taburkan wangi sayangmu ke benak insan  kecil yang mengharapkan petunjuk jalan bagi membidik hati yang gersang menjadi kubang ilmu yang merangsang. Menobat jiwa yang hampa dengan dulang kerohanian. Memerah kekusutan minda dengan jernihan ubat seribu nasihat yang memancang keinsafan.

Aku menyedari wahai sahabatku GURU, betapa dunia digital ini semakin mengeraskan wibawa tugas kita. Kerap kali hati kita diluka dek olah durjana insan yang cuba kita bina dunianya. Kerap kali itu juga kita dibalas dengan tuba. Walau perit onar yang dihadap, janganlah kau sahabat GURU ku melatah tidak tentu pasal. Bersikaplah dengan tenang, kerana jiwa yang tenang sanggup menguasai keadaan. ketenangan adalah pemelihara hikmah yang terbaik.

Engkau adalah pencetus kedamaian bagi jiwa kerdil yang resah. Kemelut sahsiah dan kebejatan olah oleh segelintir pelajar yang sudah lelah dengan dunia belajarnya, semakin memburukkan profesion keguruan. Kita diumpat keji kerana dianggap gagal memenuhi keperluan jiwa untuk disadur dengan emas kata-kata mutiara.  Kita dijeling sergah dengan hamburan hikmah yang tidak berhemah sambil menuding jari bahawa semua kebejatan akhlak yang berlaku adalah salah kita. Sering ditabur atas ubun-ubun kita sewenang-wenangnya tanpa difahami bahawa kita juga manusia yang berperasaan.

Sahabatku GURU yang budiman,

Aku bersifat optimis terhadap peranan dan tugas guru yang mulia dalam dunia pendidikan. Ingatlah sahabatku GURU, tujuan utama dalam PENDIDIKAN ialah mendekatkan diri kepada ALLAH bukan kerana mencari nama, pangkat, pengaruh atau mengharapkan pujian orang. KERJAYA GURU bukanlah kerjaya untuk mencari kekayaan atau menjadi orang kaya. Kerjaya guru adalah satu PROFESION MULIA. Dunianya diuliti dengan keikhlasan, dipenuhi dengan kasih, dibaluti dengan sayang. disaluti dengan kejujuran, dilimpahi dengan ilmu seribu guna untuk ditabur ke jiwa yang memerlukan ubat penawarnya.

Ingin ku berpesan dalam bicaraku ini, DUNIA PENDIDIKAN, jangan kita dicemari dengan kekasaran tingkah yang mengeras olah. Jangan dilimpahi dengan kata-kata kesat yang menyusut hikmah. Jangan dipompa dengan cerita khayal yang tidak memberi makna kepada jiwa. Jangan kita membusuk diri dengan kerja luar yang tidak berfaedah. Lalu teroleslah dunia pendidikan  yang suci murni dengan  bau darah yang hanyir dan memalukan. Maka, tegal nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, maka terpalit semuanya

Jangan dibiar hati dan nubari anak-anak pelajar kita tersisih dari ucap bicara yang membina. Bicaralah dengan petah sesuai dengan martabat gurumu yang berilmu. Tonjolkan kewibawaan bahawa engkau adalah GURU SEBENAR GURU. Tampilkan budi luhurmu dalam bersikap dan kata berhemah. Serlahkan kebijakanmu tentang ilmu yang disandang agar pelajarmu mengkagumimu sebagai guru mereka yang patut menjadi contoh teladan untuk berjaya. Senyumlah selalu walau pahit menimpa agar wajah ceria kita mengalir bagai arus memikat hati mereka untuk berlama-lama dengan kita di dunia belajarnya.

Sahabatku GURU yang diingati,

Terakhirnya surat ini kutulis dengan rasa rendah hati. Kita harus banyak memberi bukan banyak menerima. Setiap ganjaran yang menjadi upah kepada keperitan dunia guru kita, juga kepayahan minda untuk berfikir demi kejayaan anak bangsa hendaklah diterima dengan redha. Kini kita berasa beruntung (untuk sesetengah kawasan di pedalaman yang ganjarannya bukan alang kepalang tingginya berbanding mereka yang mengajar di kawasan bandar dan sekitarnya) walau ada yang tidak menyangkut kepuasannya kerana dirasakan kurang wajar dari aspek kesaksamaan pengajaran dan tanggungjawab. Tapi bukan itu yang ingin ku bicarakan.

Apa yang perlu kita ingat adalah peranan dan tugas kita walau apapun bayaran dan ganjarannya. Ia bukan milik kita, tetapi milik pelajar, rakyat dan negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan untuk sanggup berkorban bagi memberikan pendidikan terbaik dan ilmu yang berguna. WANG BUKAN TUJUAN PENDIDIKAN.

Sahabatku GURU yang berjasa,

Jangan membuang masa berbincang untuk mencipta kecemerlangan dalam masyarakat jika tidak berusaha menuju kehebatan jalannya. Oleh itu, kecemerlangan dunia pendidikan ini harus dimulakan dengan diri sendiri.  Guru harus MEMPERKASAKAN DIRI dari aspek profesionalisme,dan akauntabiliti,  prinsip dalam tugas, keutuhan peribadi yang diteladani,  kecekapan dan ketrampilan diri yang unggul, mental dan keintelektualan yang menyerlah keilmuan, kestabilan emosi  dalam menangani tribulasi,  spiritual yang luhur untuk membina kekuatan diri serta bijaksana dalam kepemimpinannya. Kita sebagai guru adalah pelopor masa depan. Guru adalah pembina jati diri modal insan. GURU ADALAH PEMBINA NEGARA BANGSA.

Ingin ku tinggalkan pesan orang dulu-dulu yang cukup menyedarkan aku betapa menjadi GURU SEBENAR GURU bukan kepalang ajar.  Untuk kesekian kalinya, bicara surat terbuka ini, bukan untuk mengguruimu sahabatku GURU. Aku juga ingin mengingatkan diri sendiri betapa kita digalas dengan amanah yang besar dan murni. SIAPAKAH KITA SEBAGAI GURU JIKA TIADA MEREKA (PELAJAR) YANG HENDAK DIAJAR ILMU?

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Sekian, salam hormat penuh takzim.

SITI FATIMAH AHMAD

PENSYARAH
JABATAN PENDIDIKAN ISLAM DAN MORAL
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS RAJANG
SARAWAK.
This entry was posted in Umum and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s